Pada hari Selasa, 10 Jun 2025 bersamaan 13 Zulhijjah 1446H, Majlis Daerah Marang (MDM) telah menganjurkan Program Tautan Kasih Ibadah Korban 1446H/2025M sebagai inisiatif tahunan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, keprihatinan sosial dan penghayatan ibadah korban di kalangan warga kerja serta komuniti setempat.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, yang sudi meluangkan masa bersama warga majlis dan penduduk setempat dalam memeriahkan majlis ibadah korban tersebut. Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Daerah Marang serta wakil-wakil daripada DUN Rhu Rendang, Alor Limbat dan Pengkalan Berangan, yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan program ini.
Pelaksanaan ibadah korban ini bukan sahaja mencerminkan nilai keagamaan dan rasa syukur sempena sambutan Aidiladha, malah memperkukuhkan jalinan silaturrahim antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat di sekitar daerah Marang. Ia juga menjadi medan untuk menzahirkan semangat gotong-royong serta kesedaran sosial dalam kalangan kakitangan dan komuniti yang terlibat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua kakitangan Majlis Daerah Marang yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini dengan penuh dedikasi dan semangat berpasukan. Semoga segala usaha yang dicurahkan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT.